Apa erti kebahagian pada diri kita? adakah kekayaan harta benda itu bahagia? Adakah memiliki suami yang tampan atau isteri yang jelita itu bahagia? Adakah kedudukan atau jawatan yang tinggi itu bahagia? Adakah punyai anak yang bijak pandai itu bahagia? Atau apa jua perkara yang kita inginkan di muka bumi ini benar-benar dapat membahagiakan kita?
Benarkah kekayaan harta benda itu bisa memberi kebahagiaan?. Seorang teman pernah berkata pada saya, dengan adanya kekayaan kita boleh beli apa sahaja bahkan ia dapat memberi jaminan dalam hidup kita. Tidak ada apa yang perlu ditakuti seandainya kewangan yang kita ada cukup utuh. Tapi sayangnya berapa ramai manusia yang kaya namun tidak tenang hidupnya. Meskipun memiliki rumah yang besar tetapi dipagari dengan tembok-tembok yang tinggi dan 24 jam sentiasa dikawal oleh pengawal keselamatan. Penjenayah pula sibuk mencari kesempatan untuk memecah masuk. Bukankah situasi ini mengambarkan tuan rumah berkenaan tidak rasa selamat. Bagaimana pula jika kesihatan tidak mengizinkan, kaya tapi sakit. Walaupun mempunyai doktor peribadi bahkan pakar sekalipun belum tentu penyakit yang dialami oleh kita benar-benar dapat pulih. Ya, mungkin kita masih merasakan ada ruang lagi untuk berharap kerana mempunyai wang yang banyak atau insuran kesihatan yang pelbagai namun adakalanya tidak semua penyakit yang dihidapi mudah disembuhkan. Dan seandainya penyakit yang kita alami itu menyebabkan kehilangan. Contoh seperti buta, pekak, cacat anggota badan atau mungkin lumpuh seumur hidup. Apakah pada waktu itu kekayaan yang kita ada benar-benar dapat menolong kita? lalu bahagiakah kita dengan kekayaan?
Bagaimana pula jika kita memiliki suami yang tampan atau isteri yang jelita. Fitrah manusia, semakin umur meningkat semakin surut paras rupanya. Tak mungkin kekal segala kecantikan yang pasti tetap akan pudar. Buatlah segala rawatan atau urutan mahupun suntikan, tetap ada kelemahan yang timbul di sebalik rupa wajahnya. Rambut yang beruban boleh dihitamkan namun umur yang meningkat tiada siapa yang mampu mengubahnya. Sampai bila kita ingin menyayangi dan mencintai suami atau isteri kita kerana paras rupa. Akhirnya bila kulit sudah berkedut, jasad sudah tak berupaya. Pasangan kita mula meliar mata mencari lain. Walhal diri sendiri juga telah tua. Itulah masalahnya, sudahlah tua tapi tak sedar diri. Lalu bahagiakah kita dengan hidup sebegitu?
Pangkat atau kedudukan yang tinggi, manusia mana yang tidak suka?. Kadang-kadang walau pun kita kata tak heran dengan pangkat tetapi dalam diam tetap memasang angan-angan ingin menjadi bos ataupun pemimpin. Aduhai... siapa yang tak suka dihormati, disegani, terkenal lagi berkuasa. Tetapi malangnya bila ada pangkat dan kedudukan sering sahaja disalahgunakan. Mulalah berjinak-jinak ‘menyuap’ dan ‘bersuap’ tak cukup itu sibuk ‘melobi’ dan di ‘lobi’ orang demi untuk kepentingan diri sendiri. Tambah lagi kalau ada yang dengki kerana cemburu dengan kedudukan kita. Ada pula yang menyebarkan fitnah, menjatuhkan maruah dan harga diri kita. Tak semua manusia tabah menghadapi dugaan ini. Adakalanya jatuh pengsan, sakit jantung atau menghadapi tekanan perasaan dan yang paling sedih sekali ada sampai menemui ajal. Lalu bahagiakah kita?
Rata-rata ibu bapa amat mengharapkan anak-anak mereka tergolongan dari golongan bijak pandai. Mana ibu-bapa yang tidak mahu melihat kejayaan anak-anak dalam bidang pendidikan. Merangkul segulung ijazah di menara gading adalah merupakan impian setiap ibu bapa. Saya pernah berjumpa kes dimana seorang anak yang telah berjaya dalam pendidikan. Menjadi harapan ibu dan ayahnya untuk bergantung namun akhirnya anaknya telah terlibat dalam kancah maksiat. Ingin menutup malu, anaknya telah membawa diri ke sempadan negara lalu berkahwin secara tidak rasmi. Apa yang lebih malang lagi lelaki yang dinikahi juga adalah seorang pelajar lepasan universiti Timur Tengah. Apa erti kebahagian ini?.
Sebenarnya tidaklah salah untuk jadi kaya, tidaklah salah untuk berkedudukan dan berpangkat, tampan atau cantik dan juga memiliki anak-anak yang hebat kerana harapan dan hasrat tetap ada dalam setiap diri manusia. Cuma janganlah terpedaya bahawa semua itu dapat memberi kebahagiaan pada diri kita. Sedangkan kebahagian yang berbentuk meterial tidak akan kekal kerana suatu masa nanti apabila kita diuji, kita akan menjadi patah hati dalam menghadapinya. Apatah lagi di tengah-tengah kehidupan ini tidak semuanya berjalan sepertimana yang kita rencanakan melainkan segalanya telah Allah Ta’ala aturkan. Tidak ada manusia yang dapat lari daripada seribu macam masalah di muka bumi ini. Wahima para nabi dan rasul pun mempunyai banyak cabang-cabang dugaan dalam menyebarkan risalah ilahi inikan pula kita manusia biasa.
Selingkar kisah ingin saya berkongsi di sini. Kisah dua beradik yang mempunyai sebuah kehidupan yang cukup ‘unik’ bagi saya. Mereka bagaikan butiran permata yang bersalut lumpur tetapi cahayanya tetap berkilauan. Dua beradik lelaki ini menghidapi penyakit sistem saraf yang tidak mampu menyokong pergerakan anggota badan mereka hinggakan mereka tidak boleh berjalan seperti manusia normal. Pergerakkan tangan mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memegang atau mengengam sesuatu benda dengan kuat. Maaf, jika saya tulis bahawa cara makannya tak ubah seperti seekor kucing (bukan menghina, tetapi saya ingin mengambarkannya). Minum pula menggunakan straw tambah lagi usia mereka juga telah lanjut dan masih lagi tidak berumahtangga. Mungkin tidak ada perawan dunia yang tertambat hati melihat mereka kerana kecacatannya dialami sejak muda lagi. Setelah kematian ibu dan ayah, mereka tinggal berdua di rumah tinggalan pusaka. Meskipun mereka sebenarnya mempunyai adik beradik yang ‘sempurna’ tetapi masing-masing hanya dapat pulang sekali sekala menjenguk mereka. Dua beradik ini hidup menerima ihsan dari tetangga dan bantuan kebajikan. Walau bagaimanapun sebelum mereka menerima pertolongan orang, pada waktu muda mereka berkerja sendiri tidak mengharapkan bantuan orang lain. Sedangkan pada ketika itu mereka sebenarnya tidak mampu berjalan seperti kita hanya mengunakan pelantar kayu yang beroda, duduk diatasnya dan menggantikan tangan sebagai kaki untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Anda bayangkan betapa sukarnya hidup mereka. Betapa banyak dugaan dan ujian yang mereka lalui, bukannya kecil dugaan itu. Mata yang membaca kisah saya nukilkan ini tidak mampu dari mata yang melihat terus diri mereka. Namun satu perkara yang benar-benar menginsafkan ialah seberat mana dugaan yang menimpa mereka namun melupai Allah tidak sesekali. Kepayahan yang mereka alami tidak dijadikan alasan dan halangan bagi mereka untuk beribadah. Mereka tetap melaksanakan solat lima waktu sehari hatta melakukan solat sunat tidak menjadi keberatan pada diri mereka untuk menunaikannya! Subahanallah...Pada riak wajah mereka tidak tercalit air mata kesedihan dalam mengenangkan nasib mereka melainkan tetap tenang dan tersenyum.
Wahai teman, mana manusia yang boleh hidup dalam keadaan begitu. Untuk mengada-adakan kehidupan seperti itu jauh sekali. Sudahlah cacat, miskinlah pula, ibu dan ayah pun sudah tiada, apatah lagi teman hidup serta anak-anak penyeri suasana tidak pula mereka miliki. Inilah yang dikatakan kebahagiaan hakiki yang tidak semua manusia memilikinya dan tak semudah itu memperolehinya melainkan hanya Allah Ta’ala sahaja yang menganugerahkan. Tidaklah ada kesenangan atau kesusahan dalam penghidupan ini menjadi penghadang dalam diri manusia yang telah BEBAS jiwanya dari menjadi hamba dunia melainkan kepada Allah Ta’ala jiwanya terikat. Tidaklah bergantung harap dan nasib kepada makhluk melainkan tetap kepada Allah Ta’ala disandarkan.
“Taktala ketenangan dan ketenteraman jiwa yang melahirkan kesejahteraan hidup dirasai, itu bermakna seseorang itu telah mencapai satu kekayaan dimensi lain yang secara tunas berbeza dengan kekayaan harta. Itulah dinamakan kekayaan JIWA. Sehebatmana pun dugaan dan rintangan merwarnai kehidupan ini tidaklah sesekali dapat mengugurkan keimanan dan melunturkan keyakinan mereka terhadap Allah Ta’ala.”
Sebenarnya tidak ada apa yang dapat membahagiakan diri kita di alam ini melainkan kebahagian itu datang dari Allah Ta’ala. Itulah kebahagian yang hakiki, walaupun hidup susah, tidak punyai harta melimpah ruah atau mungkin cacat penglihatannya namun jiwa tetap tenang dan bahagia kerana keredhaan kita atas segala apa yang berlaku.
ADS HERE !!!